Kami sampai di hospital Sultanah Bahiyah kira-kira pukul 10 malam. Kebanyakan jiran sudah pun pulang daripada menziarahi jenazah di rumah mayat hospital. Esok jenazah akan terus ke Kodiang, kampung Abang Not. Kak Om minta pihak hospital uruskan jenazah sebagai menjaga kehormatan dan maruah aruah. Aku menuju ke kumpulan jiran wanita yang aku sangat kenal. Mereka menerima aku seadanya. Aku jarang berkumpul dan bersembang. Malah jarang keluar rumah dan bermasyarakat. Namun, mereka tidak pernah pulaukan aku. Malah, jika aku dijemput untuk apa-apa majlis sekali pun, aku akan berusaha untuk pergi. Kami duduk di atas rumput di luar rumah mayat. Nooraini, yang mengajar anak-anak ku sehingga khatam Quran; Sofiah, yang selalu menghubungi ku jika ada sesuatu yang berlaku di taman perumahan kami; Kak Kiah, Kak Odah, Kak Chik dan Faten. Kami cuma berada di situ untuk memberikan sokongan moral buat Kak Om. Sambil duduk dan bertanya khabar, Nooraini memberi sedikit tazkirah. Malam ini Maulud Nabi. Langit begitu cerah. Angin sepoi-sepoi bahasa. Kami tidak merasa kesedihan yang teramat. Ketenangan di muka Kak Om membuat kami amat menghormatinya. Kesabaran dan kekuatan dia kami merasa. Keredhaannya kami teruja. Adakah kami nanti akan dapat melalui detik ini seperti mana dia? Dalam kelembutan ada kekuatan MasyaAllah. Subhanallalh Alhamdulillah.
Abag Not telah memotong kaki kanannya akibat diabetes bulan lepas. Tiga hari sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia menjalani pemotongan kaki kiri dan tangan kanan. Dia tidak sedar daripada pembedahan itu. Dia pergi ketika azan maghrib berkumandang menyeru umat Muhammad solat. Kak Om perasan mesin jantung telah menjadi garisan yang lurus. Sabarnya Kak Om melayan kerenah seorang suami yang dalam kesakitan. Allah lebih sayangkan hambaNya. Hanya Dia tahu setakat mana hambaNya mampu mengahdapi ujian yang diberi. Kak Om adalah seorang yang sangat lembut bicaranya. Halus perkataannya. Jarang malah aku rasa tak pernah tengok Kak Om marah.
Allah permudahkan pemergian Abang Not. Dia beri hari malam maulud. Hari Ahad, esoknya, cuti umum. Cuaca yang sangat syahdu dan tenang. Anak yang memang ambil cuti sebulan hanya untuk menjaga ayahnya. Anak-anak yang lain yang sentiasa berada di sisinya. Mampukah aku berbuat demikian satu hari nanti? Ya Allah, redhailah hamba mu itu. Kasihanilah yang masih hidup. Izinkanlah kami mengambil iktibar daripada pemergian hamba mu itu.
Hampir tengah malam. Kami bersurai untuk pulang dan meninggalkan Kak Om serta anak-anaknya dan keluarga Abang Not untuk menghabiskan waktu terakhir bersama-sama. Al-fatihah.
No comments:
Post a Comment